Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Ahmad Jefferi Abdullah bersama Ketua Polis Daerah Kajang (ACP Mohd Zaid Hassan (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas oleh polis selepas kejayaan dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 30 MEI 2022.

KAJANG – Seorang warga Ukraine dicekup ketika sedang mengangkat keluar kotak berisi dadah dari sebuah kereta untuk diagihkan kepada pelanggannya.

Malah, empat lagi pelanggannya turut ditahan polis dalam serbuan pada jam 6 petang di tempat letak kereta deretan kedai di Batu 11, Cheras, 24 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Ahmad Jefferi Abdullah berkata, serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor menemui sebanyak 39 bungkusan kristal berisi dadah jenis methaphetamine (syabu) seberat 39 kilogram dalam kotak coklat.

Menurutnya, dadah seberat 39 kilogram itu dianggarkan bernilai RM1.4 juta dan boleh diedarkan kepada 200,000 orang penagih.

Kesemua suspek termasuk warga Ukraine itu berusia lingkungan antara 30 hingga 44 tahun, ujarnya.

“Siasatan mendapati lelaki warga Ukraine itu mempunyai dokumen perjalanan sah dan kali pertama memasuki dan meninggalkan negara pada April lalu sebelum masuk semula ke Malaysia pada 10 Mei lalu.

“Mereka sudah aktif terlibat dalam pengedaran dadah sejak enam bulan yang lalu dan memperoleh bekalan dari negara jiran bagi tujuan pemasaran ke kawasan Lembah Klang,” katanya pada sidang media, di sini.

Ahmad Jefferi berkata, dua daripada empat suspek disahkan positif dadah.

Manakala dua suspek itu turut memiliki rekod jenayah dadah lampau dan juga rekod jenayah bunuh di bawah 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes sama, polis menyita tiga buah kenderaan iaitu Mercedes Benz, Toyota Vios dan Bezza bernilai RM255,000 yang disyaki digunakan suspek bagi kegiatan dadah.

Sejumlah wang tunai ringgit dan juga mata wang asing, bhat berjumlah RM24,883 turut dirampas selain barang kemas bernilai RM109,000.

“Kesemua suspek kini telah direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah mulai 25 Mei hingga 31 Mei ini bagi membantu siasatan dan akan disambung reman selepas tempoh tahanan semasa tamat nanti,” katanya.

Tambah beliau, polis sedang mengesan dalang yang memainkan peranan di sebalik sindiket dadah berkenaan dan percaya masih terdapat saki baki ahli sindiket yang bebas.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette