Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan mahu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meneliti isu kelewatan penerbangan yang semakin kerap berlaku.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, beliau mengambil berat isu ini ekoran lebih 500 penerbangan didapati tertunda semasa musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Tegas beliau, pertemuan dengan suruhanjaya itu telah dilakukan dan Mavcom perlu mengenal pasti punca kelewatan yang berlaku itu.

Ka Siong berkata, kementerian itu boleh berkompromi jika kelewatan penerbangan itu langsung tidak boleh dielakkan atas sebab cuaca.

Namun bukan berpunca daripada aspek segi kejuruteraan atau penyelenggaraan.

“Jika kelewatan itu disebabkan teknikal, tak dapat kompromi lah.. kalau dari segi kekangan engineering (kejuruteraan), kita memang tak benarkan untuk berlepas dan kita faham..

“Faktor cuaca kita faham.. ia di luar kawalan kita” katanya ketika ditemui di Majlis Aidilfitri JPJ 2022 dan Apresiasi Media di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Putrajaya, di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, beliau sendiri melihat kelewatan penerbangan yang agak luar biasa dan situasi itu tidak boleh dijadikan sebagai budaya atau tabiat.

”Ada syarikat penerbangan saya nampak kelewatan agak luar biasa. Itu perlu kita ambil tindakan cepat. Sepatutnya (pihak) pengurusan perlu bagi tahu kepada pengguna lebih awal, dan sistem penjadualan perlu dilihat semula.

“Saya tidak mahu orang anggap itu budaya kita kerana ketepatan adalah sangat penting, kita kena jaga dan lindungi pengguna.

“Lagipun susah nak dapatkan tiket pada waktu kemuncak terutama jika seseorang itu beli tiket ke destinasi yang memerlukan transit, kelewatan yang dihadapi itu akan menganggu perjalanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast