Mohd Ali menyempurnakan perasmian Menara TNB Melaka di MITC Ayer Keroh, Melaka hari ini sambil disaksikan Sulaiman (kiri) dan Takiyuddin (kanan)

MELAKA – Selepas hampir lima bulan menghentikan eksport arang batu ke Malaysia, Indonesia akhirnya bersetuju membenarkan penjualan komoditi itu menerusi perjanjian bekalan bernilai RM13.1 billion dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam pertemuannya dengan pengeksport arang batu di Indonesia minggu lalu yang turut disertai pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian jangka pendek dan panjang bagi menjamin bekalan arang batu di negara ini.

“Minggu lepas, saya dan pengurusan tertinggi dah pergi ke Indonesia berjumpa dengan pengeksport arang batu dan telah tanda tangan perjanjian jangka panjang bagi menjamin bekalan arang batu kepada TNB.

“Nilai kontrak import itu adalah AS$3 billion (RM13.1 bilion) menjadikan Indonesia adalah pembekal utama arang batu kepada kita iaitu sebanyak 65 peratus atau hampir 70 peratus dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Takiyuddin Hassan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Menara TNB Melaka di MITC Ayer Keroh yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, persetujuan perjanjian itu adalah hasil rundingan semula dengan Indonesia yang sebelum ini menghentikan sementara eksport arang batu ke Malaysia sejak Januari lalu untuk memenuhi permintaan penduduknya.

“Ini adalah antara pelan tindakan yang diambil TNB untuk pastikan pembekalan elektrik kita stabil, berdaya harap, mampu bayar dan tidak membebankan rakyat.

“Malah setakat ini, pengguna elektrik negara menikmati bayaran elektrik yang cukup stabil di mana kerajaan masih lagi memberi rebat dua sen per kiloWatt sejam (kWj) berbanding negara-negara lain ada yang kena bayar surcaj,” katanya.

Selain itu, jelasnya, TNB juga dalam rangkai beralih kepada penggunaan sumber-sumber daripada tenaga boleh baharu (TBB) bagi menjana elektrik termasuk sumber solar dan hidrogen.

Tahun lalu, Malaysia mengikat kontrak import bekalan arang batu bernilai RM10.07 bilion daripada Indonesia, selain daripada Rusia dan Afrika Selatan. _ Malaysiagazette