Lee Jia Min, 28, dan Nor Razman Abd Razak , 44, yang terlibat dalam video tular insiden kumpulan konvoi kereta mewah yang menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai hari ini kerana gagal mengawal kenderaan pada Mac lepas. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

KULAI – Seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadi, masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kecederaan di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, Mac lepas.

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Lee Jia Min, 28, dan Nor Razman Abd Razak, 44, setelah keduanya selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Sekiranya gagal membayar denda, Lee perlu menjalani hukuman penjara satu bulan manakala Nor Razman boleh dipenjara dua bulan. Kedua-dua membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Lee sebagai pemandu kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger didakwa gagal mengawal kenderaan berkenaan dan menyebabkan kemalangan di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan di sini, kira-kira 6.10 petang, 18 Mac lepas.

Kesalahan itu bertentangan dengan Kaedah 10 LN 166/59 yang boleh didakwa mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.

Sementara itu, Nor Razman yang bekerja sebagai pemandu dan pengawal peribadi, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Lee dengan menampar muka wanita itu di Kilometer 36.6, lebuh raya yang sama dan pada hari sama.

Kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kereta dipandu Lee datang dari arah Yong Peng menghala ke Johor Bahru telah memasuki lorong kiri sebelum melanggar bahagian hadapan kanan sebuah kereta mewah, yang sedang bergerak terus di lorong kiri oleh majikan Nor Razman.

Setelah sampai di Kilometer 36.6 lebuh raya itu, Lee memberhentikan kenderaannya kerana ditahan oleh sekumpulan kereta mewah pelbagai jenama, sebelum dihampiri Nor Razman yang kemudian bertindak menampar pipi kanan wanita itu sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Terdahulu, sebelum Sharifah Maleeha menjatuhkan hukuman terhadap Nor Razman, beliau bertanya kepada lelaki itu mengapa bertindak menampar Lee dan lelaki itu memberi alasan kerana wanita itu, telah melanggar kenderaan dipandu majikannya sehingga menyebabkan kerosakan.

Sharifah Maleeha kemudian memberikan nasihat kepada Nor Razman supaya tidak memilih perbuatan keganasan sebagai jalan penyelesaian, sebaliknya menyerah perkara tersebut kepada pihak berwajib mengikut saluran undang-undang sedia ada.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong, manakala peguam Tan Cheng Yee mewakili Lee dan peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias mewakili Nor Razman.

Baru-baru ini, tular video berdurasi 45 saat di media sosial menunjukkan kumpulan kereta mewah bertindak memberhentikan kenderaan mereka, dipercayai selepas berlaku pelanggaran di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka di lokasi kejadian.- BERNAMA