Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar ditemani Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah memberikan duit raya kepada anak-anak yatim ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka ANGKASA Sempena Aidilfitri 2022 di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 MEI 2022.

PETALING JAYA – Koperasi yang terlibat dalam sektor agromakanan boleh memohon Dana Pembiayaan Kemudahan Agromakanan yang disediakan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya telah bersetuju untuk membantu koperasi mendapatkan bantuan menerusi dana yang ditawarkan itu.

“Untuk maklumkan kepada semua koperasi di negara ini yang terlibat dalam sektor agro makanan kini sudah boleh memohon pinjaman ini kepada dana yang berada di bawah BNM. Ini bagi menggalakkan koperasi yang ada pada hari ini untuk terus terlibat dalam sektor ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media semasa hadir ke Majlis Rumah Terbuka ANGKASA Sempena Aidilfitri 2022 di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 MEI 2022.

“Saya juga dimaklumkan peruntukan Kemudahan Agromakanan disediakan sebanyak RM500 juta yang boleh dimohon pihak koperasi. Sebelum ini, ia dibuka pada syarikat-syarikat dalam sektor agromakanan tapi semalam kita telah bersetuju untuk agar koperasi boleh turut bersama memohon.

“Ia bukan sahaja koperasi yang terlibat dalam ternakan ayam sahaja, sudah tentu koperasi dalam ternakan kambing, lembu dan juga ada koperasi dalam penghasilan makanan haiwan,” katanya ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka ANGKASA Sempena Aidilfitri 2022 di Kelana Jaya hari ini.

Tambah Noh, inisiatif itu bertujuan membantu mengurangkan masalah kenaikan harga barang serta memperbanyakkan pengeluaran makanan di negara ini. – MalaysiaGazette