Chan Chee Wee hari ini didenda RM10,000 dan sehari penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk tahun lalu.

MELAKA – Seorang pembantu kedai didenda RM10,000 dan sehari penjara selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Chan Chee Wee, 40, yang turut diperintahkan tambahan penjara empat bulan jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memandu selama dua tahun bermula dari tarikh hukuman hari ini.

Mengikut pertuduhan, Chee Wee sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran BKL5386, didapati kadar kandungan alkohol dalam nafas sebanyak 215 miligram (mg) per 100 mililiter (ml), iaitu lebih 193 mg daripada tahap dibenarkan, 22 mg per 100 ml.

Perbuatan itu dilakukannya di Jalan Taming Sari, Melaka Tengah, kira-kira jam 12.50 tengah malam 18 April 2021.

Kes dituduh mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 sehingga RM30,000 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam Op Mabuk dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Hasil pemeriksaan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) polis mendapati kadar kandungan alkohol dalam nafas tertuduh melebihi had dibenarkan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohammad Naim Abd Jalil memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.

Peguam, Loong Meng Si bagaimanapun merayu hukuman denda dan penjara yang ringan atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM1,500 sebulan perlu menjaga ibu berusia 60 tahun yang sakit. – MalaysiaGazette