corpse management health assistants healthcare workers bribery corruption
Three healthcare workers arrive at the Shah Alam Court Complex for remand order to assist into the investigation of corpse management corruption case. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 31 MAY 2022. Tiga individu diiringi penguatkuasa SPRM di Kompleks Mahkamah Shah Alam untuk mendapatkan perintah reman. Foto MOHD ADZLAN, 31 MEI 2022.

SHAH ALAM – Seorang penolong pegawai perubatan dan dua pembantu kesihatan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan meminta dan menerima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi pengurusan jenazah.

Perintah reman sehingga 4 Jun itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaman selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah di sini.

Empat individu terdiri daripada penolong pegawai perubatan dan pembantu kesihatan berusia di antara 35 hingga 41 tahun ditahan di Pejabat SPRM Selangor semalam ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes itu sekitar jam 6 petang.

Bagaimanapun, hanya tiga suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman hari ini.

Manakala seorang lagi suspek berusia 41 tahun dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki yang berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang suapan terbabit bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim yang mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan berusia 40 dan 42 tahun telah ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama. – MalaysiaGazette