Pangsapuri 14 tingkat yang menjadi lokasi seorang warga emas maut dipercayai terjun dari bangunan berkenaan.

MELAKA – Seorang warga emas maut selepas dipercayai terjun dari sebuah pangsapuri 14 tingkat di Banda Hilir di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 8.50 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 67 tahun didakwa memandu sendiri keretanya ke pangsapuri berkenaan sebelum dipercayai terjun dari ruang tangga pangsapuri terbabit.

Raiz Mukhliz Azman Aziz

“Si mati dikatakan pernah mengadu kepada isterinya kerap sakit dan tidak mahu hidup lama sebelum bertindak memandu sendiri kenderaanya ke pangsapuri berkenaan hari ini.

“Setakat ini kita percaya, si mati bertindak terjun dari ruang tangga pangsapuri berkenaan namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mayat di bawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).- MalaysiaGazette