Jagdeep Singh Deo

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menggesa Kerajaan Persekutuan meminda atau mewujudkan akta bagi menangani masalah penyewaan unit rumah kos rendah dan sederhana rendah kepada pihak ketiga.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan rumah-rumah tersebut dimiliki dan dihuni oleh kumpulan yang layak.

“Pada 22 Februari 2017, kerajaan negeri telah mengemukakan usul bersama yang ditandatangani oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan tentang keperluan pindaan atau mewujudkan akta berkaitan.

“Usul tersebut adalah untuk menggesa agar aspek perundangan dipinda atau diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Tambah Jagdeep, sehingga kini, tiada sebarang klausa di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) atau peruntukan undang-undang yang mensyaratkan unit kediaman kos rendah dan sederhana rendah perlu dihuni oleh pemilik.

“Akibatnya, tiada tndakan penguatkuasaan dapat diambil ke atas pemilik yang menyewakan unit kediaman mereka kepada pihak ketiga sama ada dalam kalangan warga tempatan atau pekerja asing.

“Susulan itu, kita mengemukakan cadangan supaya Jadual G dan H dokumen piawai perjanjian jual-beli di dalam Akta 118 dipinda bagi menghalang pemilik daripada menyewakan unit kediaman mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast