logo mahlamah

SEREMBAN – Seorang Penyelia Rancangan Tanah Felda dipenjara 14 hari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan tender projek bagi membekal dan menanam bunga hiasan bernilai RM4,990, empat tahun lepas.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Syafeq Mokhtar, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Mei lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Syafeq yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Tender Rancangan di Pejabat Felda Palong 5 didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih syarikat miliknya, Syarikat SNF Baraqah Enterprise bagi menyediakan tenaga buruh, peralatan dan pengangkutan.

Ia bertujuan menjalankan kerja-kerja membekal dan menanam bunga hiasan di jalan kawasan Kampung Felda Palong 5 dan kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Felda Palong 5 pada November 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala Mohd Syafeq tidak diwakili peguam. – Bernama