Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid.

MUAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan perbicaraan kes Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, yang berdepan pertuduhan melakukan pemerasan, diteruskan di Mahkamah Majistret mulai Ahad ini.

Perintah itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Tangkak, yang melepas tanpa membebaskan Long Tiger, 33, daripada pertuduhan tersebut pada 17 Mei lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar berkata, walaupun saksi pendakwaan iaitu Luqman Hakeem othman, 20, yang merupakan mangsa dalam kes itu telah meninggal dunia, perbicaraan perlu diteruskan dengan memanggil saksi lain.

Beliau berkata, mahkamah berpendapat Mahkamah Majistret telah terkhilaf apabila melepas tanpa membebaskan Long Tiger atas alasan Luqman Hakeem meninggal dunia pada 27 Mac lepas ketika pembelaan belum selesai menyoal balas mangsa.

“Mahkamah berkesempatan melihat CRT (sistem rakaman dan transkripsi prosiding mahkamah), pihak pendakwaan mengambil masa lebih kurang dua jam untuk menghabiskan pemeriksaan utama manakala pembelaan berkesempatan menyoal balas mangsa pada 12 Okt 2021 selama 30 minit dan pada 20 Okt 2021, menyambung soal balas selama dua jam 10 minit.

“Malangnya, pada sambung bicara seterusnya mangsa telah meninggal dunia. Mahkamah berpendapat walaupun pembelaan tidak berpeluang menghabiskan soal balasnya, Mahkamah Majistret boleh menimbang semua keterangan pihak pendakwaan termasuk mangsa yang tidak selesai disoal balas sebelum memutuskan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atau sebaliknya,” kata beliau.

Pada 6 Mei 2020, Long Tiger didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Bukit Gambir, Tangkak antara 7 hingga 9 malam dalam bulan Oktober 2019 mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala peguam Putri Aisyah Zahirah Zakriya mewakili tertuduh yang juga lelaki etnik Rohingya.

Long Tiger turut berdepan perbicaraan bagi kes mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, mengurung mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan merogol mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Long Tiger dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia ketika menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistret pada 15 Dis tahun lepas. – Bernama