Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Lim Kim Foong beramah mesra bersama komuniti-komuniti yang hadir pada Majlis Makan Malam BCWA di The Linc Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) melantik presiden baharu, Lim Kim Foong, yang akan berkhidmat untuk tempoh 2022 hingga 2024.

Kim yang juga merupakan bekas pesakit kanser payudara aktif dalam persatuan berkenaan sejak beberapa tahun.

Beliau berkata, meningkatkan pencapaian BCWA merupakan matlamatnya sebagai peneraju baharu persatuan berkenaan.

“Matlamat saya dalam menerajui organisasi ini adalah untuk meningkatkan pencapaian kami sepanjang 36 tahun ini. Saya yakin dengan kerjasama pasukan ini kami akan dapat memberi sokongan emosi, sosial dan material kepada komuniti kanser payudara di Malaysia, yang merupakan teras utama untuk semua aktiviti kami,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Makan Malam yang berlangsung di sebuah restoran terkemuka di ibu negara.

Turut hadir bersama Kim adalah ahli jawatankuasa eksekutif BCWA iaitu Naib Presiden, Naliza Fahro Rozui, bendahari (Sam Sinnan) dan setiausaha persatuan itu, Swee Lee.

Ujar beliau, terdapat pelbagai sokongan yang boleh diberikan persatuan kepada pesakit kanser payudara agar mereka berpeluang hidup bahagia.

Justeru Kim berharap, BCWA akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap komuniti pesakit kanser payudara yang lain.

“Saya telah melihat sendiri perubahan besar yang boleh berlaku melalui kerjasama bersama rakan kongsi hebat dalam mengurangkan risiko kematian pramatang dengan menyediakan pendidikan awam, pengesanan awal kanser payudara dan panduan bagi wanita untuk mendapatkan rawatan lanjut dan tepat pada masanya,” jelasnya. – MalaysiaGazette