IPOH – Pemilik sebuah syarikat gajet didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 529 unit telefon bimbit berjenama menggunakan cap dagangan berdaftar palsu, Februari lalu.
Tertuduh, Wong Soon Yaw, 37, turut berdepan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Soon Yaw yang juga Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua telefon bimbit yang menjadi barang kes dikembalikan kepada kerajaan untuk dilupuskan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki bagi maksud perdagangan sebanyak 529 unit telefon pintar pelbagai model jenama Oppo, iaitu barangan yang mempunyai cap dagangan berdaftar milik Guangdong Oppo Mobile Telecommunications Corporation Limited.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Besar, Gunung Rapat, di sini, dalam daerah Kinta, kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 5 Februari 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Shamani Natha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette
















