KUALA LUMPUR – Sapura Energy Bhd menjangkakan persekitaran operasi yang lebih baik pada tahun akan datang dalam keadaan pemulihan ekonomi global yang berterusan dan harga minyak mentah yang tinggi akibat ketegangan geopolitik di Eropah Timur yang mendorong negara pengimport tenaga untuk mencari sumber bekalan baharu.

Syarikat minyak dan gas itu berkata faktor-faktor ini dan harga minyak yang mendadak lebih tinggi, yang setakat ini menyelubungi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2023, akan mendorong pelaburan yang dimulakan semula dalam sektor minyak dan gas, memacu permintaan terhadap perkhidmatannya.

Memanfaatkan peluang-peluang ini memerlukan Sapura Energy untuk mengekalkan tumpuan terhadap penstrukturan semula kewangan dan operasi syarikat dengan berkesan, menurutnya dalam laporan tahunan 2022.

“Sebagai bahagian penting dalam penstrukturan kami, Sapura Energy giat berusaha untuk mendapatkan sumber pembiayaan baharu bagi memastikan kami mempunyai modal mencukupi untuk menjalankan pelan pemulihan, termasuk melalui penjualan aset bukan teras.

“Di samping itu, kami akan meneruskan libat urus dengan para peminjam mengenai kaedah terbaik pada masa akan datang untuk menyelesaikan beban hutang kami,” menurut Pengerusi Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Anuar Taib menerusi kenyataan bersama dalam laporan tahunan itu.

Sapura Energy optimis mengenai unjuran untuk mencapai satu persetujuan yang mengiktiraf tuntutan peminjamnya di samping memastikan daya maju kewangan syarikat yang berterusan.

Malah, ia akan terus mengadakan rundingan dengan pemiutang perdagangan di bawah rangka kerja skim pengaturan (SOA) untuk mencapai perjanjian yang saling diterima mengenai pembayaran yang belum dijelaskan.

Status PN17

Pada Selasa, Sapura Energy mengumumkan ia telah mencetuskan kriteria yang ditetapkan menurut  keperluan penyenaraian di bawah Nota Amalan 17 (PN17), mengambil langkah untuk menyusun semula perniagaan melalui Pelan Tetapan Semula, yang dilancarkan pada tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2022.

Lembaga Pengarah Sapura Energy telah menubuhkan Pasukan Petugas Penstrukturan Semula Lembaga pada Disember 2021 untuk mengukuhkan fungsi pengurusan dan tadbir urus dan melaksanakan langkah penting ke arah penstrukturan semula hutang dengan adil dan tersusun melalui perundingan dengan pemiutang selepas menerima perintah mahkamah untuk memulakan proses SOA pada Mac 2022.

“Adalah penting untuk menegaskan bahawa meskipun berdepan cabaran kewangan semasa, Sapura Energy mempertahankan daya saing di pasaran perkhidmatan tenaga global dan meneruskan untuk meraih kontrak di Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” menurut Mohammad Azlan dan Mohd Anuar.

Berdasarkan kemampuan ini, Sapura Energy yakin bahawa Pelan Tetapan Semula itu berada di landasan untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik bagi tahun kewangan 2023, menempatkan kumpulan di laluan yang tepat ke arah kestabilan kewangan dan operasi.

Impak COVID-19

Sapura Energy berkata pandemik terus meninggalkan impak yang besar terhadap prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2022.

Tambahnya, hampir keseluruhan RM2.2 bilion kerugian operasi adalah disebabkan kontrak legasi yang telah ditandatangani kumpulan sebelum tahun kewangan yang terdahulu, tidak termasuk peruntukan COVID-19.

Ia telah membelanjakan kos langsung kira-kira RM570 juta daripada COVID-19 sejak pandemik bermula dan kos langsung ini termasuk perbelanjaan tunggu sedia kapal, kos ujian dan kuarantin untuk kru dan pekerja, dan kos menjalankan program vaksinasinya sendiri.

Selain kos langsung yang dibelanjakan, pandemik turut mengakibatkan perbelanjaan tambahan berikutan kelewatan perolehan dan perubahan jadual projek, dan kos lanjutan ini yang mungkin lebih tinggi berbanding kos langsung, menjejaskan lagi keuntungan projek-projek tertentu.

“Setakat ini, Sapura Energy hanya meraih sebahagian kecil daripada kos tambahan ini dan dalam proses perundingan dengan pelanggan untuk membayar balik kos ini,” menurut Mohammad Azlan dan Mohd Anuar.

Menurut kumpulan, pendedahan Sapura Energy terhadap kontrak sebelum pandemik dijangka berkurangan pada tahun kewangan 2023 dan kontrak legasi sedemikian menyumbang separuh daripada komposisi perolehannya pada suku pertama tahun kewangan 2023.

“Kami berharap untuk mengurangkan bahagian ini kepada kira-kira 27 peratus menjelang akhir tahun kewangan 2023,” menurut kedua-duanya sambil memaklumkan disiplin kumpulan dalam pelaksanaan projek akan memastikan kontrak yang diraih untuk dilaksanakan dengan selamat dan berkesan.

Rangka Kerja Pengurusan Risiko Perusahaan kumpulan, dengan selera risiko yang bersesuaian merentasi rantaian nilainya, akan menjadi pengupaya utama untuk mengekalkan prestasi.

“Sapura Energy akan turut menjual aset bukan teras kepada rancangan perniagaan kami untuk mengukuhkan tumpuan operasi dan menyediakan modal kami. Kumpulan turut mencari sumber dana baharu untuk membiayai rancangan perniagaan berikutan ia bercadang menstukturkan semula perniagaan dan memperkemas operasi,” kata Mohammad Azlan dan Mohd Anuar. – MalaysiaGazette