Syahmi dilepaskan dari latihan pusat Harimau Malaya kerana masalah kesihatan resdung sangat serius. gambar Ihsan FAM

KELANA JAYA – Pemain pertahanan negara, Syahmi Safari, hari ini telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas beliau tidak dapat meneruskan perjuangan bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, 8 hingga 14 Jun ini atas masalah faktor kesihatan.

Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, keputusan agak sukar itu terpaksa dibuat pihaknya selepas Syahmi yang dibawa ke hospital untuk ujian perubatan, pagi tadi kerana masalah resdung dialaminya didapati semakin teruk.

“Syahmi telah mendapat nasihat daripada doktor pakar untuk beliau menjalani rawatan susulan dalam kadar segera.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Syahmi daripada kem latihan pusat kali ini.

“Langkah itu diambil supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Dengan ketiadaan Syahmi, baki 29 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat termasuk bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong, malam ini dan tiada penambahan pemain baharu buat masa ini.-  MalaysiaGazette