Pintu belakang Sekolah Rendah Robb yang dimasuki lelaki bersenjata sebelum melepaskan tembakan hingga mengorbankan 21 orang mangsa. Foto AP

TEXAS – Lelaki bersenjata yang menembak mati 21 orang di sebuah sekolah minggu lalu memasuki premis itu melalui pintu yang tidak dikunci.

Jabatan Keselamatan Awam (DPS) Texas yang sedang menyiasat tindak balas tembakan, mengesahkan seorang guru telah membuka pintu tersebut.

Tetapi seorang jurucakap berkata, guru itu menutup pintu sebaik lelaki bersenjata itu memasuki kawasan sekolah.

Kemarahan orang ramai telah meningkat apabila kisah terbaharu kes tersebut didedahkan.

Laporan awal mendedahkan lelaki bersenjata itu memasuki sekolah melalui pintu luar yang secara tidak sengaja dibiarkan terbuka oleh seorang guru, sekali gus menunjukkan berlaku pelanggaran peraturan.

Bagaimanapun, seorang peguam yang mewakili pekerja sekolah yang tidak disebutkan namanya itu memberitahu San Antonio Express-News,  anak guamnya telah menutupnya dan “menyangka pintu itu terkunci kerana pintu tersebut sepatutnya dikunci”.

Tetapi Timbalan Pendakwa Raya San Antonio, Don Flanary berkata, guru wanita itu telah meletakkan batu sebagai penyendal pada pintu tersebut supaya dia boleh mengangkat makanan dari kereta ke kelas, tetapi kemudian “menendang batu itu apabila dia masuk semula” selepas menyedari penyerang bersenjata berada di dalam sekolah.

Rakaman video mengesahkan pintu telah ditutup.

Beliau berkata, penyiasat kini sedang meneliti mengapa ia tidak berkunci. – AP