Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Zuraida Kamaruddin tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri untuk meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Ini bukan rombakan Kabinet, dia yang umum dulu. Tapi saya tak tahulah apa yang berlaku selepas ini, tunggulah.

“Dia cuma berhenti (keluar) daripada Bersatu, dia tak berhenti dari Kabinet. Kabinet berbeza, parti berbeza.

“Lagipun, dia keluar Bersatu pun dia tak bincang dengan saya, itu soal parti dia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Ampang itu membuat kejutan apabila mengumumkan menyertai PBM dengan alasan tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, akan berjumpa dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Kata Zuraida, beliau juga akan berbincang mengenai peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, daripada segi tindakan itu, Zuraida sepatutnya berbincang dengan beliau dahulu, kerana yang dipegangnya itu adalah jawatan Kabinet. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast