Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin disambut dengan lebih 100 orang penyokong dengan laungan 'Bangsa Malaysia' ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 02 JUN 2022.

SEPANG – Datuk Zuraida Kamaruddin berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum memberikan tarikh pertemuan empat mata bersamanya.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu yang baru tiba di ibu negara berkata, pihaknya masih menunggu tarikh daripada Ismail Sabri untuk mengadakan pertemuan.

“Saya akan bertemu dengan Perdana Menteri dan saya masih menunggu tarikh dan jumpa dalam masa terdekat untuk berbincang tentang kedudukan saya dalam Kabinet.

“Saya nak bincang dengan Perdana Menteri, itu masih belum lagi ada tarikh. Saya akan buat satu sidang media khas selepas semua perkara ini sudah selesai,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Zuraida yang mengadakan lawatan ke Turki disambut lebih 150 penyokongnya setibanya di KLIA.

Pada 25 Mei lalu, Ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Kabinet.

Zuraida turut melepaskan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, Zuraida berharap isu peletakan jawatan beliau dapat diselesaikan minggu depan dan satu sidang media khas akan diadakan.

“Dalam minggu depan, hari ini Khamis, kamu rehat dulu, Isnin depan kita akan buat sidang media khas,” katanya lagi.

Ketika mengumumkan peletakan dua jawatan itu, Zuraida berkata, beliau akan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti berkenaan.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerusi yang ditinggalkan oleh Zuraida itu adalah milik partinya, begaimanapun bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tak nak komen apa jadi kita tunggu kepada Perdana Menteri untuk buat apa-apa keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette