Keadaan trafik sesak menghala ke Kuala Lumpur berikutan orang ramai mula pulang balik ke bandaraya selepas cuti Deepavali semasa Gambar Hiasan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 07 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR – Kenderaan berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kilogram ke atas dilarang menggunakan jalan raya di bandar-bandar utama yang diwartakan sekurang-kurangnya lima kilometer dari pusat bandar pada waktu puncak antara jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemantauan pihaknya mendapati terdapat pergerakan kenderaan barangan memasuki laluan waktu terhad ke pusat bandar raya pada waktu puncak iaitu pada waktu pagi dan waktu petang.

Tindakan tersebut turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan menjejaskan kelancaran aliran trafik di Lembah Klang, ujarnya.

“JPJ ingin menasihatkan pengendali/pemandu syarikat pengangkutan kenderaan barangan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya kepada Peraturan Larangan Waktu Terhad yang telah diwartakan bagi jalan-jalan tertentu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, penguatkuasaan bagi kesalahan sekatan larangan waktu larangan akan dikuatkuasakan berdasarkan peraturan di bawah Subseksyen 79(2) Akta pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mana pesalah boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM300 atau didakwa di mahkamah yang boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000.

Berikut adalah senarai jalan yang mana kenderaan berat dilarang melaluinya pada 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam

1. Semua jalan di dalam pusat bandar Kuala Lumpur.

2. Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Sekatan bermula dari Taman Wahyu, Jalan Ipoh hingga ke pusat bandar Kuala Lumpur.

3. Jalan Genting Klang. Sekatan bermula dari Kolej Tunku Abdul Rahman hingga ke pusat bandar Kuala Lumpur.

4. Jalan Cheras. Sekatan bermula darin Taman Midah hingga ke pusat bandar Kuala Lumpur.

5. Lebuhraya Plus – Sekatan bermula dari R&R Rawang menghala ke Kuala Lumpur.

6. Lebuhraya Plus – Sekatan bermula dari Plaza Tol Bukit Raja, Klang, Selangor menghala ke Kuala Lumpur.

7. Jalan Tun Razak.

8. Jalan Istana

9. Jalan Segambut

10. Jalan Sentul.

Senarai jalan yang mana kenderaan berat dilarang melaluinya antara jam 4.30 petang hingga 7.30 malam

1. Jalan kepong

2. Jalan Ipoh. – Dari Bulatan Kepong hingga Jalan Batu Caves.

3. Lebuhraya Karak.

4. Jalan Gombak. – Dari Jalan Kampung Bandar hingga sempadan Kuala Lumpur.

5. Jalan Genting Kelang.

6. Jalan Cheras. – Dari Jalan Pudu hingga Jalan Tenteram.

7. Jalan Sungai Besi. – Dari Jalan Kuchai Lama hingga Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

8. Jalan Kelang Lama. – Dari lebuhraya persekutuan hingga Jalan kuchai Lama. – MalaysiaGazette