Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia, Nor Hizwan Ahmad bercakap pada media ketika mengadakan Misi Bantuan Banjir di Kampung Pisang, Kuala Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menerima Datuk Zuraida Kamaruddin bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan ditentukan dalam mesyuarat bersama presiden parti, Larry Sng.

Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad berkata, keputusan itu akan ditentukan sebaik Larry pulang dari luar negara.

“Permohonan (terima Zuraida) ditentukan dalam mesyuarat bersama presiden dalam masa terdekat. Presiden masih berada di luar negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Larry sebelum ini berkata, keputusan rasmi berhubung permohonan Ahli Parlimen Ampang itu untuk menyertai PBM akan ditentukan selepas beliau pulang ke tanah air pada 7 Jun nanti.

PBM sebelum ini dilaporkan teruja untuk menerima Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Pada 19 Mei lalu, Zuraida yang sebelum ini ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti berkenaan dan meletakkan jawatannya sebagai menteri Kabinet.

Petang ini satu majlis sambutan kepada Zuraida bakal diadakan PBM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Majlis itu difahamkan bakal berlangsung jam 5 petang ini. – MalaysiaGazette