chicken prices
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) akan meneliti cadangan pemberian bantuan untuk golongan sasar berpendapatan rendah termasuklah kadar dan mekanisme penyaluran bantuan bagi menangani kenaikan harga barang apabila penentuan harga maksimum ayam dan telur tamat pada 30 Jun 2022 nanti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh harga maksimum runcit ayam standard, ayam super dan telur ayam menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam ini telah dilaksanakan sejak 5 Februari 2022 dan sepatutnya berakhir pada 5 Jun 2022.

“Lanjutan tempoh ini untuk memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga ini berakhir pada 30 Jun 2022 nanti,” katanya dalam kenyataan di sini

Harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia telah ditetapkan seperti berikut:
I. Ayam Bulat Standard: RM8.90/kg
II. Ayam Bulat Super: RM9.90/kg
III. Telur Ayam Gred A: RM0.43/ biji
IV. Telur Ayam Greb B: RM0.41/ biji
V. Telur Ayam Gred C: RM0.39/biji

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Alexander menambah, pegawai-pegawai penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus meningkatkan penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara untuk menentukan bekalan sentiasa stabil dan tiada pencatutan berlaku di pasaran.

Dalam pada itu, kerajaan mengingatkan kepada komuniti peniaga supaya sentiasa beretika dalam menjalankan perniagaan dan tidak mencatut untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.

”Kerajaan juga ingin menyeru agar semua pengguna untuk menggunakan kuasa beli mereka dalam membeli mengikut keperluan dan berbelanja secara berhemah.

”Pelaksanaan penentuan harga ini akan berkesan sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing termasuklah dengan cara menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDNHEP sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar undang-undang ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette