KUANTAN – Seorang pekerja kilang maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh pacuan empat roda yang dipandu oleh warga emas yang dipercayai mabuk di Kilometer 4 Jalan Bentong malam ini.
Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa Muhammad Nor Izad Abdul Karim, 22, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Bentong.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang di pandu oleh seorang lelaki berusia 65 tahun.
“Hasil siasatan pihak polis, mendapati kenderaan pikap tersebut dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Bentong dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan dan telah melanggar sebuah motosikal.” jelasnya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan polis juga mengesyaki lelaki warganegara tempatan terbabit dengan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 Jun, ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette