PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

IPOH – Seorang lelaki berusia 61 tahun dipercayai pengedar dadah yang bertindak agresif merempuh kenderaan polis dalam insiden di Ayer Tawar, Lumut semalam direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, isteri suspek yang berumur 38 tahun turut direman bagi tempoh sama manakala anak lelaki pasangan itu yang berusia dua tahun akan diserah kepada waris terdekat hari ini.

“Pasangan itu turut didapati positif dadah jenis Metamfetamina hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas mereka,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu suspek dalam insiden pada 4 petang semasa sepasukan anggota polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak merempuh bahagian depan kereta polis sebelum memecut laju kenderaannya menyebabkan anggota pasukan keselamatan itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira 800 meter dari lokasi rempuhan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta lelaki itu menemukan 33 paket dadah jenis syabu seberat 62.5 gram. – Bernama