Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Keputusan akar umbi PKR untuk mengangkat Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden harus menjadi perkara yang diperhalusi oleh UMNO.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menganggap pemilihan parti lawan itu membawa beberapa maksud besar kepada politik tempatan kalau menelitinya secara berlapang dada.

“Pertama, akar umbi PKR sedar akan kedatangan PRU-15. Jadi, barangkali dalam pemikiran akar umbi PKR, adalah penting dan strategik untuk parti itu mengangkat seseorang yang ‘pakar’ dan berpengalaman dalam mencipta persepsi dan membawa isu nasional.

“Pengalaman dalam PRU -14 membuktikan bahawa isu-isu nasional yang besar menjadi peluru berkesan kepada lawan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shaiful Hazizy, keduanya PKR sedang dalam proses melakukan reform dan mereka mahu move on daripada cara lama.

“Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden tanpa bertanding, Rafizi adalah nama yang dipercayai mampu membawa pembaharuan dan kelainan,” katanya.

Ketiga, akar umbi PKR mahukan seseorang yang mampu tampil dengan idea dan solusi kepada masalah masyarakat.

“Saya akui saudara Rafizi bukanlah seorang yang berjaya menyelesaikan banyak isu awam. Banyak idea beliau yang gagal dan tidak praktikal. Cuma, saya melihat beliau sentiasa cuba untuk tampil dengan alternatif serta cadangan.

Dalam konteks penyelesaian masalah, katanya, perkara tersebut sudah pasti suatu permulaan yang baik.- MalaysiaGazette