najib razak
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Masih belum terlambat untuk kerajaan bertindak mengatasi krisis makanan daripada berlaku di negara ini dengan mewujudkan generasi baharu peneroka Felda dalam bidang pertanian dan ternakan.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau telah meramalkan situasi kekurangan makanan akan berlaku kerana gangguan bekalan akibat Covid-19 pada November 2020.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat ketika itu, Najib  meminta kerajaan yang memerintah menimbang untuk mewujudkan penerokan baharu Felda dalam bidang makanan.

Katanya, kerajaan persekutuan boleh merancang dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah bagi mewujudkan satu generasi baharu peneroka Felda untuk pertanian dan ternakan.

“Itu saranan saya supaya negara berjaga-jaga lebih setahun setengah dahulu sebelum gangguan rantaian bekalan serta krisis makanan dunia yang diramalkan saya itu bermula.

“Namun masih belum terlambat walaupun masa itu kerajaan Perikatan Nasional tak layan saranan ini,” katanya.

Bagaimanapun Najib berkata, yang menjadi persoalan sama ada generasi baharu berminat atau tidak untuk menjadi peneroka Felda.

“Sekiranya kerjaan pusat hari ini mendapat kerja sama dengan kerajaan-kerajaan negeri dan satu skim baharu seperti Felda diperkenalkan bagi penananam makanan secara berskala biasa, siapakah antara kawan-kawan Facebook saya yang berminat menjadi peneroka generasi baharu?” soalnya.

Dalam perbahasan Dewan Rakyat yang berlangsung di tengah-tengah jangkitan pandemik Covid-19 sedang memuncak pada November 2020, Najib telah menegaskan sektor pertanian perlu dilihat semula dan dirangsangkan.

Menurutnya, keselamatan makanan dan kebimbangan bahawa rantaian makanan seluruh dunia mungkin terancam dan terganggu akibat Covid-19.

Tegas Najib, bidang-bidang baharu yang berpotensi perlu dikenalpasti dan diberi keutamaan untuk dimajukan.

“Sebagai contoh pengeluaran susu segar oleh syarikat Holstein dengan jenama Farm Fresh dan telah berjaya menguasai 30 peratus daripada pasaran susu segar. Produknya mendapat sambutan yang hangat sehingga permintaan melebihi bekalan.

“Produknya mendapat sambutan yang hangat sehingga permintaan melebihi bekalan.

“Pengeluaran susu segar ini merupakan projek yang boleh disifatkan sebagai import substitution iaitu mengganti barang makanan yang diimport dan berpotensi untuk menjana keuntungan. Dan projek inijuga membuktikan bahawa Malaysia mampu mencapai self-sufficiency dalam industri yang berkenaan,” katanya.

Kerajaan juga perlu mengubah persepsi bahawa sektor pertanian tidak setanding sektor-sektor lain seperti pekerjaan dalam bandar.

Najib berkata, sektor pertanian merupakan industri yang disanjung tinggi serta memberi pulangan yang lumayan kepada rakyat.- MalaysiaGazette