Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Affin Bank Berhad (Affin Bank) memenangi anugerah Pengalaman Pelanggan (CX) Digital Cemerlang untuk Rangkuman Kewangan bagi aplikasi mudah alih SME Colony mereka di Anugerah Digital CX 2022.

Kemenangan ini merupakan pengiktirafan ketiga berturut-turut daripada Anugerah Digital CX bagi kesungguhan pihak Bank dalam memberikan perkhidmatan kepada PKS secara digital.

Dianjurkan oleh The Digital Banker, Anugerah Digital CX ini memberikan pengiktirafan kepada institusi-institusi kewangan terkemuka seluruh dunia yang berusaha untuk menggabungkan teknologi dan inovasi terbaik bagi memberikan pengalaman pelanggan yang luar biasa dan usaha menaik taraf industri.

Panel hakim yang terdiri daripada ahli pakar industri seperti wakil PWC, Deloitte, Forrester dan Capco, bagi memastikan ketelusan dan proses penghakiman yang adil.

Dilancarkan pada 2019, SME Colony ialah aplikasi mudah alih PKS yang berteraskan komuniti pertama di Malaysia untuk membantu PKS meningkatkan ilmu pengetahuan perniagaan, mengukuhkan kesejahteraan kewangan dan meluaskan rangkaian komersial melalui platform digital.

Aplikasi SME Colony, yang percuma tanpa kos dan tanpa prasyarat keahlian bertujuan untuk memupuk pembangunan komuniti PKS, sejajar dengan nilai “Sentiasa Untuk Anda” yang mengfokuskan kepada pelanggan Bank bagi menyokong salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pengiktirafan ini melambangkan kesugguhan bank menyediakan platform digital inklusif kewangan terbaik bagi menyokong pertumbuhan yang mapan bagi PKS dalam masa jangka panjang.

Aplikasi SME Colony ini telah melalui beberapa proses dan penambahan kandungan informasi sebagai salah satu inisiatif pendigitalan utama di dalam pelan hala tuju Affin Affin bagi menambahbaik pengalaman pelanggan dan perkembangan PKS secara digital, tambahnya. – MalaysiaGazette