Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Cubaan kerajaan untuk mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atas alasan mengukuhkan kewangan negara adalah tindakan regresif yang menyumbang ke arah inflasi lebih tinggi.

Lebih lagi, kata Pengerusi Biro Pengguna Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil, pelaksanakan GST serentak dengan pemotongan subsidi akan mewujudkan kesan lebih teruk terhadap kuasa beli rakyat.

“Barangkali Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah lupa antara sebab kejatuhan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak adalah pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam wawancara di Tokyo, Jepun baru-baru ini, Perdana Menteri itu menyatakan GST mungkin kembali dan pada masa yang sama program rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan.

Faiz mengingatkan Ismail Sabri bahawa inflasi Malaysia pernah melonjak ke paras 4.2 peratus pada Februari 2016, iaitu kira-kira setahun pelaksanaan GST.

Kemudian, katanya, inflasi melonjak lagi ke paras 5.1 peratus pada Mac 2017 yang berpunca daripada tindakan Najib memansuhkan subsidi bahan bakar.

“Jika dibandingkan dengan tempoh pimpinan Pakatan Harapan (PH), tidak pernah sekalipun inflasi melepasi kadar 2 peratus, malah, pada Disember 2018, kadar inflasi pernah turun sehingga 0.2 peratus.

“Salah satu faktor utama PH berjaya mengawal tekanan harga adalah dengan menggantikan cukai GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Jika kerajaan Ismail Sabri memperkenalkan kembali GST, terutama dalam tempoh setahun akan datang, inflasi akan menjadi lebih teruk kerana faktor gangguan rantaian bekalan dunia terus wujud.” katanya.

Ini kata beliau, akan menjadi tamparan berganda kepada rakyat Malaysia akibat tindakan terdesak BN untuk justifikasi GST bagi menambah pendapatan negara, sedangkan hasil GST adalah dari poket rakyat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah menegaskan, GST bukan satu-satunya cara menaikkan hasil pendapatan negara.

Kata Faiz, sepanjang pemerintahan PH, beberapa sumber hasil alternatif telah dikenalpasti dan dijana secara optimum dengan memperkenalkan Jawatankuasa Reformasi Cukai bagi mengurangkan ketirisan sistem percukaian dan menambahbaik kutipan cukai.

“Antara cara lain yang diperkenalkan untuk menambah hasil cukai adalah pengenalan Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP), cukai perkhidmatan atas perkhidmatan yang diimport, levi pelepasan dan cukai atas minuman bergula.

“Hasilnya, kutipan cukai langsung pada tahun 2019 adalah RM134.72 bilion, iaitu 16.1 peratus lebih tinggi berbanding kutipan cukai langsung pada tahun 2017 di bawah pemerintahan Najib.

“Cukai pendapatan individu misalnya menyumbang RM38.68 bilion pada tahun 2019, hampir 34 peratus lebih tinggi berbanding RM28.95 bilion pada 2017,” katanya.

Beliau berkata, jika GST diperkenalkan kembali beserta rasionalisasi subsidi pada masa yang sama, rakyat akan mengalami gelombang hiper-inflasi yang besar.

Antaranya, inflasi makanan telah mencecah 4.1 peratus setakat April lalu dan boleh menjadi lebih teruk dengan kenaikan harga barang yang mendadak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast