Pistol tiruan yang dirampas bersama dadah daripada dua lelaki tempatan semasa serbuan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur. Foto: IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki yang disyaki memiliki dadah dan menyimpan pistol tiruan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan jam 11.55 malam itu membawa kepada penemuan sepaket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis methamphetamin seberat 0.25 gram.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan di rumah sama, pasukan serbuan telah berjaya merampas satu beg warna hijau yang mengandungi sepucuk pistol warna hitam dipercayai tiruan tanpa kelopak jenama ‘WET’ di dalam kabinet dapur rumah suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek warga tempatan yang berumur 31 dan 46 tahun itu memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin.

“Mereka kini direman selama sehari bermula Jumaat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bagi membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya.

Menurut Muhammad Idzam, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette