Pada muka surat 48 buku manifesto PH, Kita Boleh, berhasrat meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi memastikan sebarang percubaan membunuh diri tanpa mengira bangsa dan agama sudah tidak lagi menjadi kesalahan.

LIPUTAN berita mengenai kes bunuh diri, baru-baru ini, telah menggemparkan negara. Bagaimanapun, perkara itu tidaklah menghairankan, memandangkan kejadian bunuh diri menyaksikan peningkatan yang mengejut serta membimbangkan, sejak kebelakangan ini. Walaupun itu adalah salah satu situasi yang perlu ditangani, namun terdapat aspek lain yang memerlukan perhatian setara, iaitu cara kejadian bunuh diri dilaporkan di media.

Laporan beretika membabitkan kejadian bunuh diri oleh media dan orang awam boleh memainkan peranan aktif dalam mengubah persepsi dan mengelakkan penularan kejadian bunuh diri, selain mewujudkan kesedaran lebih tinggi terhadap isu yang semakin meruncing ini. Kejadian terbaru di Malaysia yang dilaporkan oleh media dan dikongsi oleh pelbagai individu – termasuk pelbagai komponen yang membentuk kandungan berkenaan, antaranya termasuklah tajuk utama, penggunaan bahasa dan gambar, semuanya memberikan impak kepada orang awam secara umum disebabkan peranan media yang berpengaruh dalam masyarakat.

”Saya percaya bahawa laporan berita, jika dibuat secara bertanggungjawab, akan memudahkan perbincangan penting mengenai kesihatan mental dan bagaimana untuk mendapatkan penjagaan serta rawatan yang sepatutnya. Kewujudan talian bantuan sememangnya membantu, namun, apa yang lebih penting adalah memperbanyakkan lagi laporan berita yang memberi penekanan menyeluruh bagi menggalakkan cara untuk menghadapi dan mencari-bantuan dalam menjaga kesihatan mental,” komen Dr Ng Yin Ping, Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Pantai Pulau Pinang dan Naib Pengerusi i-Life, Persatuan Pencegahan Bunuh Diri Pulau Pinang.

Menyuarakan kebimbangan sama, Norman Goh, Bekas Wartawan Bebas dan Penyokong Kesihatan Mental berkata: ”Berita berkaitan kejadian bunuh diri menimbulkan minat orang awam dan media mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan berita tersebut secara selamat dan berhemah. Mereka seharusnya menggunakan peluang itu untuk mengurangkan sebarang stigma mengenai kesihatan mental dan mewujudkan lebih banyak kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya bersikap lebih baik terhadap individu yang memerlukan bantuan,”.

Dalam hal ini, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) percaya bahawa semua kandungan yang mempunyai kaitan dengan kejadian bunuh diri perlu dilaporkan dan dikongsi secara beretika serta bertanggungjawab berdasarkan amalan terbaik dan garis panduan media sedia ada, termasuk Garis Panduan Pelaporan Media Yang Bertanggungjawab oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain mempromosikan laporan bertanggungjawab mengenai kejadian bunuh diri oleh media, garis panduan itu juga bertujuan mengurangkan kelaziman bunuh diri di Malaysia,
terutamanya isu meniru perbuatan itu dan menjadi perkara yang semakin membimbangkan.

Garis panduan ini menekankan bahawa tahap publisiti yang diberikan kepada berita berkaitan bunuh diri boleh dikaitkan dengan jumlah kes bunuh diri yang seterusnya. Kajian menunjukkan bahawa kebiasaannya berlaku peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan selepas penyiaran berita yang tidak bersesuaian mengenai perkara itu. Di media cetak, berita yang diberikan publisiti tinggi dan sering muncul selalunya memberikan impak paling besar, terutamanya jika melibatkan selebriti atau tokoh berpengaruh.

Perkongsian secara terperinci berkenaan kaedah dan jalan cerita bagaimana sesuatu kes bunuh diri berlaku boleh mendatangkan implikasi yang serius, di mana ia boleh dijadikan maklumat kepada individu yang tidak stabil. Sebaliknya, perkongsian berkenaan sumber untuk mencari bantuan akan memberikan sinar harapan kepada seseorang yang memerlukan pertolongan,” kata Dr Ravivarma Panirselvam, Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Miri.

Forum Kandungan lantang menyuarakan kepada ahli-ahli media untuk mengambil pendirian dan mengubah aspek yang tidak beretika dan bertanggungjawab dalam melaporkan kes bunuh diri bagi memastikan isu rumit ini dikendalikan secara bijaksana dan mengikut fakta. Ini akan secara beransur-ansur mengubah persepsi masyarakat serta menangani isu ini, termasuk kesedaran mengenai kesihatan mental dan apa yang boleh dilakukan bagi membantu mereka yang memerlukan.

”Kami memahami bahawa ramai di luar sana yang mungkin tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan laporan beretika bagi kes bunuh diri. Oleh itu, Forum Kandungan komited untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkara tersebut. Petugas media didapati akur apabila ditekankan bahawa terdapat aspek dalam laporan mereka yang bertentangan dengan amalan terbaik dan kandungan itu kemudian digubah semula dengan sewajarnya. Kaedah kawal selia kendiri ini amat digalakkan bukan sahaja dalam kalangan petugas media, tetapi juga pencipta kandungan dan orang awam,” kata Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood.

”Dalam era media sosial dan penularan kandungan, orang ramai lebih cenderung terhadap laporan yang disensasikan dalam kandungan berita. Bagaimanapun, adalah penting untuk difahami bahawa dengan membuat liputan mengenai topik itu secara bertanggungjawab, bukan saja dapat membantu keluarga yang sedang bersedih, namun pada masa sama mengurangkan risiko tingkah laku bunuh diri”.

Garis panduan untuk media dalam melaporkan kes bunuh diri oleh Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia boleh didapati di sini https://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach_download/554/56.

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast