Wee Ka Siong

BATU PAHAT – MCA tidak mempunyai masalah jika berlaku perubahan dalam pengagihan kerusi untuk calon-calon Barisan Nasional (BN) melibatkan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, adalah perkara biasa bagi individu atau parti-parti dalam komponen BN menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan tertentu, tetapi keputusan akhir ditentukan pucuk pimpinan melalui kebersamaan dan musyawarah.

“Setiap keputusan akhir oleh pucuk pimpinan perlu diterima oleh semua.

“Kami sudah lama dalam politik, tunjuk kematangan bersama-sama melalui perbincangan tetapi yang penting setelah keputusan dibuat parti-parti dalam BN akan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat MCA Bahagian Ayer Hitam, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, semangat muafakat yang dilaksanakan sesama parti komponen BN dibuktikan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lepas, MCA negeri memberi laluan kepada UMNO untuk meletakkan calon di kerusi tradisi parti berkenaan seperti Dewan Undangan Negeri Parit Yaani, Pemanis dan Pulai Sebatang. – Bernama