MELAKA – Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Melaka hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM48,000.

Suapan berjumlah RM48,811.85 itu melibatkan kontrak sewaan kenderaan logistik dan rumah inap desa bagi kegunaan persekutuan itu kepada syarikat milik ahli keluarganya, sejak 2013 sehingga 2018.

Tertuduh yang berusia 81 tahun, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan presiden persekutuan berkenaan didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih Syarikat Harapan Baiduri Sdn. Bhd. milik anaknya bagi menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga RM12,750.

Kesalahan itu dilakukan menerusi 13 baucer bayaran mulai tahun 2013 hingga 2018 di Pejabat PKBM Melaka Tengah.

Manakala mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan memilih Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn. Bhd. milik adik beradiknya bagi urusan sewaan inap desa untuk kegunaan atlet berbasikal dengan harga sewaan sebanyak RM36,061.85 menerusi 32 baucer bayaran di pejabat sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain meminta tertuduh menyerahkan passportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan kepada hanya RM5,000 dengan alasan sudah tua selain telah memberikan kerjasama kepada SPRM sejak lebih dua tahun lalu.

Selain itu, tertuduh turut memohon mahkamah supaya tidak mengambil passport miliknya kerana perlu sering ke luar negara untuk urusan rasmi mesyuarat mewakili persekutuan berkenaan.

Nariman dalam penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan passport diserahkan, namun tertuduh dibenarkan membuat permohonan untuk ke luar negara bagi menghadiri mesyuarat dengan melampirkan dokumen sokongan sebagai bukti.

Kes disebut semula 14 Julai ini untuk lantikan peguam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast