Tan Sri Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Pendengaran permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan semula kerana peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah disahkan positif COVID-19.

Seorang lagi peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed berkata Muhammad Shafee mendapat keputusan PCRnya pada Selasa lepas (31 Mei) dan beliau disahkan positif COVID-19, berikutan itu perbicaraan hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dilapangkan ke 14 Jun.

“Hakim mahu mendengar permohonan itu secepat mungkin. Jadi ada satu tarikh tambahan yang telah ditetapkan iaitu pada 14 Jun,” katanya ketika ditemui media di luar mahkamah.

Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan itu pada Isnin lepas bagaimanapun ia ditangguhkan ke hari ini selepas Muhammad Shafee dilaporkan tidak sihat.

Permohonan itu dibuat di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk memanggil Arul Kanda bagi memberi keterangan sebagai saksi terhadap bekas perdana menteri itu.

Seksyen itu menyatakan apabila dua tertuduh atau lebih didakwa atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang sama, mahkamah boleh membenarkan mereka memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan jika permohonan bertulis dikemukakan oleh pendakwa raya.

Pada 20 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Arul Kanda mungkin mempunyai maklumat berhubung transaksi dengan Najib, yang akan memberi kesan terhadap keputusan pendakwaan ke atas Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan.

Najib, 68, bekas Perdana Menteri, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- BERNAMA