Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan pelbagai jenis dadah selepas berjaya menumpaskan sidiket penyeludupan dan pengedaran di Selangor dan Kedah ketika sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penyeludupan dadah lumpuh dengan penahanan lima individu, termasuk seorang wanita, dalam dua serbuan polis di Selangor dan Kedah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dalam serbuan pertama yang dilancarkan jam 2.30 pagi semalam.

“Hasil serbuan itu dan pemeriksaan lanjut di premis suspek, (polis) berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM16.4 juta iaitu methaphetamine (syabu) seberat 404.3 kilogram, heroin 7.7 kilogram dan pil ekstasi 35.3 kilogram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap kepada media mengenai kejayaan menumpaskan sidiket penyeludupan dan pengedaran dadah serta merampas 696kg pelbagai jenis dadah di Selangor dan Kedah ketika sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2022.

“Manakala dalam satu lagi operasi berasingan pada Jumaat jam lebih kurang 12.50 pagi tadi, JSJN (Jabatan Siasatan jenayah Narkotik) Bukit Aman, Selangor dan Kedah telah melancarkan dua serbuan di sekitar negeri Selangor dan Kedah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil serbuan kedua polis berjaya menahan empat suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan tempatan berumur lingkungan antara 25 hingga 39 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan sekitar Selangor dan Kedah.

Menurut Ayob Khan, hasil pemeriksaan lanjut ke atas empat suspek membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 248.7 kilogram dengan anggaran bernilai RM8.9 juta.

Jelasnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah yang terlibat adalah syabu 653 kilogram (kg), heroin (7.7 kg) dan pil ekstasi (35.3 kg) yang boleh digunakan 3,421,292 penagih dadah.

Katanya, polis turut menyita kenderaan milik sindiket bernilai RM360,000 membabitkan Toyota Fortuner, kereta Kia Optima, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger.

Ayob Khan berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah ini sejak penghujung tahun lalu.

“Malah modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke Indonesia untuk pasaran antarabangsa dan juga diedar untuk pasaran tempatan,” ujarnya.

Tambah beliau, bekalan dadah diperolehi dari kawasan ‘segi tiga emas’ (Thailand, Myanmar dan Laos).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan pelbagai jenis dadah selepas berjaya menumpaskan sidiket penyeludupan dan pengedaran di Selangor dan Kedah ketika sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2022.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif syabu dan semakan rekod jenayah mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dadah di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula 2 dan 3 Jun ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata, polis mengesan saki baki ahli sindiket yang masih bebas. – MalaysiaGazette