Rampasan burung murai dan sangkat burung daripada tiga suspek termasuk dua warga Asing oleh PGK PDRM dan Perhilitan di Bukit Merah dan Gerik Perak pada 31 Mei dan 1 Jun 2022. Gambar Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki disyaki ahli sindiket menjual hidupan liar tanpa lesen dan pemilikan senjata api buatan sendiri ditahan pihak berkuasa dalam empat serbuan di Bukit Merah dan Gerik, Perak pada Selasa dan Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pada 31 Mei lalu tiga serbuan telah dilakukan di kawasan Bukit Merah sebelum pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas individu itu pasukan berjaya merampas sejumlah 72 ekor burung murai batu dan 47 sangkar burung yang dianggarkan bernilai RM694,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi itu dijalankan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Hidupan Liar.

Senjata api senapang patah yang dibuat sendiri yang dirampas daripada tiga suspek lelaki yang disyaki menjual hidupan liar tanpa lesen semasa serbuan di Bukit Merah dan Gerik Perak pada 31 Mei dan 1 Jun 2022. Ihsan PDRM

Tambah Hazani, pasukan sama melakukan satu lagi operasi serbuan di kawasan Gerik semalam dan memberkas dua lelaki warga Thailand berusia 33 dan 37 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua lelaki asing itu kami berjaya merampas empat ekor burung pelbagai jenis, tiga laras senjata antaranya tiga laras senapang patah, dua laras senjata disyaki bakakuk, selaras pistol tidak berjenama.

“Malah turut dirampas senjata disyaki lima busur panah silang, 25 butir peluru penabur dan satu beg plastik lut sinar disyaki daun ketum seberat 300 gram yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM23,000,” ujar beliau.

Hazanio berkata, kesemua suspek telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan IPD Gerik untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Polis juga menasihatkan tangkapan ini hanyalah sebahagian daripada mereka yang masih bebas dan serta bergerak aktif memburu haiwan yang dilindungi di luar sana.

“PDRM ingin menasihati mereka yang masih terlibat dalam kegiatan haram ini agar menghentikan segera aktiviti ini kerana polis tidak akan berkompromi serta akan terus menjejaki pemburu haram ini disamping masyarakat diseru menyalurkan maklumat kepada polis tantang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan keselamatan agar ketenteraman awam negara terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette