Pandemik koronavirus memburukkan lagi kadar kesuburan penduduk Jepun. Foto AP

TOKYO – Jepun merekodkan jumlah kelahiran terendah dalam tempoh lebih satu abad pada tahun lalu, menurut data kerajaan, sekali gus akan mencetuskan kebimbangan mengenai implikasi penurunan populasi yang berterusan.

Negara ini merekodkan 811,604 kelahiran dan 1,439,809 kematian tahun lalu – bermakna populasi menurun sebanyak 628,205, penurunan semula jadi terbesar sejak data tersedia.

Kemerosotan dalam kelahiran menandakan penurunan 3.5 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kadar kesuburan purata bilangan anak seorang wanita sepanjang hayatnya menurun untuk tahun keenam berturut-turut kepada 1.3.

Kadar itu adalah yang keempat terendah dalam rekod, menurut agensi berita Jepun Jiji Press jika dibandingkan dengan kadar 2.4 di seluruh dunia pada 2020, mengikut data global Bank Dunia.

Lebih daripada sedozen negara, termasuk Ukraine dan Itali, melaporkan kadar kesuburan yang lebih rendah daripada Jepun pada tahun itu.

Niger berada di hujung spektrum yang lain, dengan kadar kesuburan 6.7 pada 2020.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan memberitahu Jiji Press bahawa penurunan kadar kesuburan tahun lalu adalah hasil daripada penurunan bilangan wanita yang mengandung serta kadar kesuburan wanita berusia 20-an.

Data tersebut merupakan berita buruk bagi mereka di Jepun yang bimbang tentang kesan masyarakat akibat penuaan dan populasi yang semakin berkurangan di negara ini.

Hampir 30 peratus penduduk berusia lebih 65 tahun.

Penurunan populasi umur bekerja telah menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja dan pandemik koronavirus memburukkan lagi keadaan dan menimbulkan kebimbangan tentang masalah buruh yang lebih buruk pada masa akan datang.

“Ini bukan tentang tanpa seks,” kata Jennifer Robertson, profesor emeritus antropologi dan sejarah seni di Universiti Michigan.

Menurutnya, lelaki Jepun bergelut untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, mendorong mereka untuk meninggalkan perkahwinan dan penduduk di negara jarang mempunyai anak di luar perkahwinan.

Bilangan perkahwinan juga merosot untuk tahun kedua berturut-turut pada 2021, kepada 501,116, menurut Asahi Shimbun, sebuah akhbar terkemuka Jepun. – Reuters