Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu tiga suspek remaja lelaki bagi membantu siasatan dalam kes insiden rusuhan di sebuah restoran yang mengakibatkan seorang individu dibelasah dengan kayu baseball gara-gara merebut teman wanita sekolah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketiga-tiga suspek telah dikenal pasti identitinya sebagai Chan Jia Jing, 17, Sebastian Low Jhung, 21 dan Ho Zhen Yang, 22.

“Dalam perkembangan terkini siasatan kes ini pada 24 Mei lalu, pasukan polis Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Klang Selatan bertindak atas maklumat telah membuat beberapa siri tangkapan terhadap sembilan lelaki remaja warga tempatan berusia antara 14 hingga 21 tahun di kawasan Kapar dan daerah Klang.

“Hasil tangkapan polis berjaya melakukan rampasan beberapa telefon bimbit, beberapa helai pakaian, sebuah motokar dan juga dua batang besi besbol disyaki digunakan semasa kejadian itu.

“Semakan lanjut mendapati dua daripada tangkapan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya dan kemudian enam suspek sudah dituduh pada 1 Jun lalu di Mahkamah Majistret Klang di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan sebelum mengaku tidak bersalah dan bebas dengan jaminan mahkamah manakala seorang suspek dijadikan saksi pendakwaan manakala dua lagi suspek dibebaskan tanpa syarat.

Tambah Hoong Fong, susulan daripada perkembangan tersebut, polis masih menjalankan usaha untuk mengesan dan menangkap tiga lagi suspek yang terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan.

“Ketiga-tiga suspek ini telah dijadikan sebagai ‘Orang Dikehendaki’ atau ‘Wanted Person’ dalam kes ini dan pemburuan telah diperhebatkan lagi oleh polis,” ujarnya.

Terdahulu, polis telah mengesan satu rakaman video kejadian kekecohan yang berdurasi lebih kurang satu minit yang menunjukan sekumpulan orang lelaki bergaduh di sebuah restoran.

Hoon Fong berkata di dalam rakaman video tersebut mendapati kejadian berlaku pada 24 Mei lalu jam lebih kurang pukul 2.10 pagi yang mana beberapa orang lelaki memegang objek menyerupai kayu besbol dan telah memukul seorang mangsa di sebuah restoran di Taman Ehsan Jaya, Pandamaran, Klang.

Hasil siasatan lanjut mendapati bahawa mangsa merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 15 tahun telah dipukul oleh beberapa lelaki sewaktu berada di restoran tersebut.

“Punca kejadian ini adalah disebabkan perebutan teman wanita yang melibatkan pelajar sekolah dan sehingga ada campur tangan oleh rakan-rakan suspek yang mempunyai kaitan kongsi gelap.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan pendarahan di otak, lebam di bahagian muka dan kecederaan luka di tangan serta kaki manakala polis membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata dan kesalahan mendatangkan cedera parah menggunakan senjata,” tegasnya. – MalaysiaGazette