Sindiket curi rim tayar kereta di Ampang tumpas dengan tertangkapnya tiga suspek termasuk seorang wanita semalam. - Gambar Ihsan IPD Ampang.

AMPANG – Kegiatan jenayah mencuri rim aloi (sport rim) kereta  akhirnya terbongkar selepas tertangkapnya tiga individu di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya berjaya menangkap tiga suspek termasuk sorang wanita berusia 23 hingga 33 tahun berhubung kes yang sama.

Mereka ditahan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam operasi bermula pukul 5 petang pada Jumaat lalu selepas menerima aduan daripada mangsa seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.

“Pada 17 Mei lalu jam lebih kurang pukul 7 malam,  seorang pekerja bengkel kereta telah meletakkan kereta milik pelanggan jenis Honda Accord di belakang bengkel di Jalan Merdeka 3, Industri Park dalam keadaan baik.

“Namun pada 24 Mei lalu semasa pengadu hendak buka bengkel itu sekitar pukul 9 pagi terkejut setelah mendapati keempat-empat tayar serta rim sukan kereta pelanggannya itu hilang sebelum tampil segera mengadu kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas aduan dan maklumat itu,  sepasukan polis  Ampang telah membuat tangkapan ke atas seorang suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun di Taman Muda Ampang.

Malah, katanya, polis telah melakukan serbuan susulan di Batu 3, Jalan Cheras pada hari yang sama sebelum menangkap seorang lelaki dan wanita lagi.

“Hasil tangkapan itu pemeriksaan lanjut ke atas mereka berjaya membawa kepada rampasan tiga telefon bimbit, dua kereta jenis Proton Wira yang dipercayai digunakan semasa kejadian jenayah dilakukan.

“Turut dirampas satu tayar bersama sport rim yang dipercayai hasil jenayah suspek,” ujar beliau.

Semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Kini kesemua mereka direman selama empat hari sehingga Selasa untuk siasatan di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan,” tegasnya.-  MalaysiaGazette