Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan, Rina Jainal mengumumkan keluar Parti Warisan ketika sidang media hari ini. Rina kemudian mengumumkan beliau menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah.

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan (Warisan) dan menyertai parti tempatan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Rina berkata beliau mengambil keputusan itu bagi membolehkannya fokus untuk menjalankan khidmat kepada penduduk di kawasan Tawau khususnya di kawasannya selaras dengan tumpuan perkhidmatan Harapan Rakyat.

“Pilih (langkah ini), saya tidak sangka… saya tertarik dengan parti ini yang asalnya diasaskan arwah Datuk Seri Lajim Ukin. Saya mahu fokus khidmat di kawasan Tawau. Fokus kerja di kawasan saya, tidak perlu pening dengan politik rebut kuasa, saya mahu fikir kerja untuk rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu Presiden Harapan Rakyat Tan Sri Liew Yun Fah dan Rina menjadi ADUN pertama Harapan Rakyat sejak parti itu ditubuhkan pada 2016.

Melalui perkembangan baharu itu juga, Warisan kini mempunyai 18 kerusi di DUN Sabah selepas wakil rakyatnya bagi Bugaya, Datin Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia, enam wakil rakyatnya termasuk Rina meninggalkan parti dan selepas dua ADUN DAP menyertai parti berkenaan. Warisan memperoleh 23 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri ke-16 lepas.

Sementara itu, Liew berkata parti itu menerima Rina kerana melihat perjuangan ADUN berkenaan yang ikhlas untuk memberikan khidmat kepada rakyat terutama di kawasan Tawau.

“Tiada apa-apa diberi (kepada Rina) hanya secawan kopi sahaja ketika berbincang mengenai perkara ini, kita lihat perjuangan kami sama, jadi mari kita sama-sama bekerja… saya minta jangan tabur fitnah kepada Rina… kita sama-sama bantu dia,” katanya.

Mengenai hala tuju Harapan Rakyat, beliau berkata pada masa ini semua pihak harus memberikan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi membawa pembangunan kepada negeri itu.

Menurut Liew, parti itu telah menghantar permohonan menyertai GRS baru-baru ini.

— BERNAMA