Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Bidasan balas terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyifatkan Perdana Menteri bersikap ‘flip flop’ membuktikan Datuk Seri Ismail Sabri bersikap tegas.

Pegawai khasnya, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata berkata walaupun kerajaan mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan  Pakatan Harapan (PH), namun itu tidak membataskan Ismail Sabri untuk membalas dakwaan sempit pembangkang.

“Bidasan ini adalah bukti jelas betapa walaupun Kerajaan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan DAP tetapi Perdana Menteri adalah pemimpin yang mempunyai jati diri, tegas dan tidak lembik bila berhadapan dengan pemimpin DAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata adalah menjadi kebiasaan untuk mana-mana Perdana Menteri membiarkan semua pihak berteka-teki mengenai bila mereka akan memanggil pilihan raya.

“Dari sudut organisasi, Perdana Menteri tidak akan membuat keputusan secara bersendirian tetapi akan berbincang mengenainya di dalam parti dan Kabinet.

“Dari sudut perlembagaan, Perdana Menteri akan akur kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mendahului Baginda dalam soal pembubaran Parlimen,” katanya lagi.

Awal hari ini, Ismail Sabri berkata beliau tidak mahu mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan mengumumkan terlebih dahulu tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Bera itu turut menegaskan, walaupun keputusan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara beliau, kata putus terakhir mengenainya masih di tangan baginda.

Malah beliau menyifatkan tindakan DAP yang membuat desakan mengenai tempoh pelaksanaan PRU-15 seolah-olah tidak menghormati peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast