Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz beramah mesra bersama pengunjung yang hadir pada Majlis Kenduri Rakyat di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2022.

KUALA SELANGOR- Puncak Alam bakal mempunyai stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kelak.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang memaklumkan keputusan itu dimuktamadkan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link (MRL).

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bilakah pembinaan stesen tersebut akan bermula.

“Mengenai stesen itu sebenarnya memang ada perancangan sebelum ini tapi belum dimuktamadkan tetapi setelah perbincangan dengan pihak Kementerian Pengangkutan dan MRL mereka telah membuat keputusan supaya diadakan semula stesen ECRL di Puncak Alam.

“Di Kementerian Kewangan memang ada bajet disediakan, saya berjumpa dengan penduduk di sini mereka berharap supaya ada stesen di sini,” katanya ketika ditemui di program Kenduri Rakyat bersama penduduk Kuala Selangor di Eco Grandeur Puncak Alam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz beramah mesra bersama pengunjung yang hadir pada Majlis Kenduri Rakyat di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2022.

Terdahulu Zafrul ketika menyampaikan ucapannya mengumumkan berita baik itu yang disifatkan bakal memenuhi keperluan penduduk di kawasan tersebut.

Ujar beliau, keputusan itu  susulan hasrat gabungan pengerusi-pengerusi penduduk di Puncak Alam yang disuarakan kepadanya sebelum ini.

Menurut Tengku Zafrul, pembinaan stesen berkenaan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Tambah beliau, kawasan berkenaan mempunyai banyak potensi ekonomi yang boleh dikembang dan dimajukan.

Sementara itu, Zafrul berkata beliau berbesar hari untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan, seperti yang dicadangkan kepadanya demi merealisasikan kemajuan daerah tersebut semaksimum mungkin. – MalaysiaGazette