Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan tuduhan kononnya beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, tuduhan tersebut adalah tidak benar.

Malah beliau berkata, apa yang dibincangkan dalam siri pertemuannya dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti-parti pembangkang yang menemui saya selepas pilihan raya negeri Johor.

“Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhyiddin mendakwa, kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata-mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah.

Katanya, BN juga tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah, sokongan kepada parti itu tidak bertambah.

Susulan itu katanya, beliau mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti-parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu.

“Inisiatif ini saya ambil setelah mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

‘Saya tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti,” ujarnya.

Menurut beliau, formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik.

Katanya, tujuan persefahaman itu adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BNsepertimana yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor.

Jelasnya, kerjasama itu mesti diasaskan kepada satu agenda bersama untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai oleh kumpulan kleptokrat yang pada masa ini menguasai parti BN.

“Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.

“Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti-parti politik selain BN, saya mengambil maklum tentang pendirian setiap parti berhubung cadangan ini.

“Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini,” katanya.

Justeru beliau berkata, akan mengambil sikap yang terbuka kerana ia adalah sebahagian daripada proses perundingan antara parti yang berlangsung secara tidak rasmi.

Katanya lagi, pintu rundingan Bersatu sentiasa terbuka kepada parti-parti selain BN bagi mencapai kata sepakat mengenai formula yang terbaik bagi menghadapi PRU-15. – MalaysiaGazette