Kedai haram yang dibina bukan sahaja tidak menepati syarat PBT,malah kotor.

JOHOR BAHRU – Sebanyak tujuh warung yang didirikan di tanah rizab jalan dan berniaga tanpa lesen perniagaan di Taman Desa Cemerlang, di sini, dirobohkan pihak berkuasa dalam satu satu operasi bersepadu hari ini.

Menurut Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), kesemua kesalahan itu dilakukan di bawah kesalahan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, kerana mendirikan struktur bangunan di tempat awam tanpa kebenaran.

Katanya, operasi yang dilakukan antara jam 9.30 pagi hingga jam 3.30 petang itu turut mengambil tindakan terhadap warung dan gerai milik warga asing selain warung yang usang dan terbiar.

“Kesemuanya warung atau gerai terlibat telah dinotiskan dan diberi amaran terlebih dahulu sebelum operasi dijalankan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain MBJB, operasi tersebut turut disertai Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pemerhatian di lokasi mendapati gerai tersebut kotor dan berbau busuk.

Selain itu, struktur gerai yang diroboh itu dibina di hadapan pintu pencawang TNB sehingga menyukarkan pekerja syarikat utiliti itu untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, ujarnya.

Sementara itu, PDRM turut menahan kenderaan yang dipandu warga asing yang tidak mempunyai lesen. – MalaysiaGazette