Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin, Melaka awal pagi tadi.

JASIN – Polis akan menahan reman esok pemandu Perodua Myvi yang dipercayai mabuk sehingga mengakibatkan kematian pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) di Jalan Serkam Pantai, Merlimau di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, penahanan reman pemuda berusia 24 tahun itu akan dilakukan esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Esok, kita akan membuat permohonan reman pemandu lelaki berusia 24 tahun itu di Mahkamah Majistret Jasin kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri OKU berkenaan.

“Kita masih menunggu laporan penuh ujian alkohol daripada pihak hospital,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan pasangan OKU terbabit maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal jam 7.45 pagi tadi.

Nahas turut melibatkan seorang daripada dua lagi penunggang motosikal yang turut dirempuh pemandu kereta berkenaan cedera di bahagian badan.

Siasatan awal mendapati, operator kilang beralamat di Kampung Permatang Serai, Merlimau dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dari arah Merlimau ke Melaka telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.