Orang ramai meluangkan masa bersama ahli keluarga mengunjungi Zoo Negara sempena cuti umum ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Hulu Kelang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Orang ramai memanfaatkan cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan musim cuti persekolahan dengan mengunjungi Zoo Negara, di sini, hari ini.

Pengunjung yang ditemui MalaysiaGazette mengakui teruja walaupun terpaksa menempuh kesesakan hampir dua kilometer untuk sampai ke susur masuk pintu utama Zoo Negara.

Kenderaan mula sesak di sekitar susur masuk ke pintu utama Zoo Negara sempena cuti umum ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JUN 2022.

Salah seorang pengunjung, Muhammad Naim Ramli, 30, melunaskan hajatnya untuk ke Zoo Negara selepas kali terakhir mengunjungi pada zaman persekolahannya.

“Tadi perjalanan datang ke Zoo Negara memang sesak hampir dua kilometer. Sebenarnya, saya yang nak sangat pergi sini berbanding anak saya ini sebab kali terakhir saya singgah waktu zaman sekolah dulu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Orang awam, Muhammad Naim Ramli bercakap pada Malaysia Gazette mengenai kehadiran orang ramai yang mengunjungi Zoo Negara bersama sempena cuti umum di Zoo Negara, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JUN 2022.

Jelas bapa kepada dua orang anak itu, dia tidak perlu beratur membeli tiket di kaunter dengan barisan yang panjang kerana telah mendapatkan tiket secara dalam talian.

“Saya beli tiket malam semalam, jadi jimat masa sebab saya tidak perlu beratur. Hanya ambil tiket di kaunter khas dan terus boleh masuk zoo,” ujarnya.

Berkongsi perasaan yang sama adalah Hasni Mamat, 51, yang sanggup datang dari Muadzam Shah, Pahang bagi memenuhi permintaan anak-anak dan cucunya.

Orang awam, Hasni Mamat bercakap pada Malaysia Gazette mengenai kehadiran orang ramai yang mengunjungi Zoo Negara bersama sempena cuti umum di Zoo Negara, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JUN 2022.

Menurut guru sekolah rendah itu, dia sekeluarga terpaksa meletakkan kenderaan di parkir bangunan lain serta menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi mengelak kesesakan trafik.

“Memang sesak sampai kami terpaksa parking dekat bangunan luar zoo ini daripada terperangkap dalam kesesakan, lebih baik kami cari Grab untuk drop-off ke sini,” katanya.

Orang awam, Hemalowseeni bercakap pada Malaysia Gazette mengenai kehadiran orang ramai yang mengunjungi Zoo Negara bersama sempena cuti umum di Zoo Negara, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JUN 2022.

Seorang pengunjung lagi, Hema Loshini Raj, 34, turut mengakui cuti umum hari ini dimanfaatkan untuk anak-anaknya mengenali pelbagai jenis haiwan secara lebih dekat.

“Semalam anak-anak cakap nak datang Zoo Negara, jadi hari ini kita bawa. Anak-anak saya sebelum ini hanya tengok dalam televisyen, jadi kita bawa untuk tengok secara berdepan, bersemuka,” ujarnya.

Sebagai rekod, harga tiket untuk ke Zoo Negara bagi warganegara berjumlah RM45 bagi dewasa, RM23 bagi warga emas dan RM18 untuk kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun.

Zoo Negara beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang. – MalaysiaGazette