Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin, Melaka, awal pagi tadi.

JASIN – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, mangsa maut dalam kejadian 7.45 pagi itu dikenali Ezuddin Mohammad, 50 dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Solaris.

Mangsa maut, Ezuddin Mohammad

Menurutnya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala seorang daripada dua lagi penunggang motosikal yang turut dirempuh pemandu kereta berkenaan pula cedera di bahagian badan.

Mangsa maut, Surayah Muhamat, 48,

“Siasatan awal mendapati, operator kilang berusia 24 tahun itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dari arah Merlimau ke Melaka telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Keadaan mososikal sepasang suami isteri yang maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin, Melaka awal pagi tadi.

“Akibatnya, kereta terbabit telah bertembung dengan motosikal pasangan suami isteri berkenaan sebelum merempuh dua motosikal lagi motosikal lain dari arah bertentangan menyebabkan dua maut, seorang cedera dan seorang lagi tidak cedera,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Amran, mangsa yang cedera adalah penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda, Ya’akob Mohamad, 57 yang mengalami cedera ringan di bahagian badan selain turut mengakibatkan motosikalnya terbakar.

Jelasnya, mangsa rempuhan yang terselamat adalah penunggang motosikal jenis Honda Icon, Norazah Md Diah, 55, yang ketika itu sedang berhenti di bahu jalan untuk membeli sarapan.

Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin, Melaka awal pagi tadi.

“Selain itu, kereta dipandu lelaki terbabit yang cedera ringan di bahagian muka turut merempuh sebuah rumah di bahu jalan, namun tidak melibatkan kecederaan pemilik rumah,” katanya.

Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat manakala mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Malaysia Gazette.