Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad melakukan gimik majlis pecah tanah Kompleks Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) ketika di Mukim Sungai Panjang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.

SUNGAI BESAR – Umat Islam dinasihatkan agar tidak menghadiri Festival Bon Odori (perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka) yang akan diadakan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana berdasarkan kajian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pesta itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

“Kajian yang dibuat oleh pihak JAKIM mendapati ianya ada unsur-unsur keagamaan, kita nasihatkan kepada orang Islam jangan sertai.

“Banyak lagi majlis yang boleh disertai,” katanya kepada media pada majlis pecah tanah Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) di Sungai Panjang, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai promosi Facebook ‘The Japan Club Of Kuala Lumpur’ berhubung festival dari negara Jepun itu yang akan diadakan pada 16 Julai depan di Shah Alam.

May be a cartoon of text

Pesta itu akan diadakan di Kompleks Sukan Negara jam 8 malam.

Ditanya mengenai paparan promosi yang mempamerkan watak bertudung, Idris berharap penganjur tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada masyarakat Islam di negara ini.

“Kita harapkan kekeliruan ini tidak perlu wujud. JAKIM sebagai penyelaras agama Islam kita nasihatkan agar orang Islam jangan sertai program seperti ini.

“Bukan program ini sahaja, tapi apa sahaja yang membabitkan agama lain dan sebagainya,” katanya lagi.

Untuk rekod, festival Bon Odori diadakan setiap tahun antara lain bertujuan mempromosi dan mengukuhkan ikatan kebudayaan antara Malaysia dan Jepun. – MalaysiaGazette