Mohideen Abdul Kader.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat di negeri ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pembangunan rumah mampu milik itu tidak boleh difokuskan di tanah besar sahaja sebaliknya ia perlu dibangunkan di bahagian Pulau juga.

Jelas beliau, kerajaan negeri harus menilai semula beberapa perkara sebagai usaha masa depan mereka dalam menyediakan rumah mampu milik.

“Kita mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri menyediakan rumah mampu milik namun kita cadangkan agar membangunkan semua kawasan Pulau Pinang supaya rakyat mempunyai lebih banyak kawasan kediaman untuk didiami.

“Bagi tanah persekutuan dan tanah negeri yang dimaksudkan bagi membina rumah mampu milik, ia perlu diberi kepada kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan bukan syarikat swasta untuk dibangunkan.

“Pihak berkuasa perlu memantau projek rumah mampu milik dengan teliti bagi memastikan kontraktor tidak berkompromi dengan kualiti hanya kerana projek itu dilabelkan sebagai ‘rumah mampu milik’,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohideen berkata demikian susulan pengumuman rancangan projek perumahan mampu milik terbaru PDC di Batu Kawan iaitu Suria 2 yang akan bermula pada penghujung tahun ini selepas Suria 1 siap.

Tambah Mohideen, kerajaan negeri juga disarankan melaksanakan lebih banyak skim sewa untuk dimiliki supaya golongan B40 boleh miliki rumah sendiri. – MalaysiaGazette