APMM patahkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan dan produk kosmetik bernilai lebih RM160,000 menggunakan sebuah bot kargo. Foto Ihsan APMM.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan dan produk kosmetik bernilai lebih RM160,000 menggunakan sebuah bot kargo di kawasan Sungai Melayu, Pulau Sebatik, Sabah, malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya telah mengesan pergerakan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah perairan Batu Tiga menuju ke Pulau Sebatik pada jam 9.45 malam.

“Bot peronda APMM yang sedang dalam penugasan Ops Sejahtera/Ops Cegah Pati Selatan telah berjaya memintas bot kargo terbabit pada kedudukan dua batu nautika Timur Laut Perairan Sungai Melayu, berhampiran Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot kargo itu dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 27 tahun telah gagal mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa selain membawa muatan berlebihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizan bersama pegawai penyiasat menunjukkan antara barangan yang dirampas menerusi Ops Sejahtera/Ops Cegah Pati Selatan, malam tadi. Foto Ihsan APMM.

Dalam pemeriksaan itu, agensi tersebut turut menemui 50 tong gas cecair petroleum (LPG), gula pasir (2.4 tan), daging beku (1,480 kilogram) dan lebih 100 kotak barangan kosmetik pelbagai jenis di dalam ruang kargo bot terbabit.

Tambah Shahrizan, kesemua barangan kawalan itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

Selain itu katanya, siasatan mendapati produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) itu dibawa masuk ke daerah ini untuk dibungkus semula (re-packaging) dengan pelbagai jenama untuk dipasarkan di negara jiran.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, ujar beliau. – MalaysiaGazette