A Perodua Axia driver speeded to avoid police arrest after he was drunk and driving against traffic at the Federal Highway yesterday. PIX :IPD PJ
A Perodua Axia driver speeded to avoid police arrest after he was drunk and driving against traffic at the Federal Highway yesterday.PIX :IPD PJ.Pemandu axia yang memecut daripada ditahan polis selepas memandu dalam keadaan mabuk melawan arus di Lebuhraya Persekutuan dalam kejadian semalam. Ihsan foto IPD PJ

PETALING JAYA – Sudahlah mabuk, memandu lawan arus pula! Lebih teruk lagi pemandu yang tidak bertanggungjawab ini cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.

Bagaimanapun cubaannya itu mengundang padah apabila dia akhirnya berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihak polis telah menerima laporan mengenai insiden itu jam 8.36 pagi tadi.

“Kejadian itu berlaku jam 5.50 pagi semasa anggota kereta peronda (MPV) Balai Polis Petaling Jaya sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di lebuh raya tersebut.

“Anggota bertugas kemudian telah mengesan sebuah kereta Perodua Axia dipandu melawan arus secara berbahaya sebelum kenderaan itu diarahkan berhenti untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Tambah Mohamad Fakhrudin, bagaimanapun, pemandu kereta itu enggan mematuhi arahan tersebut dan bertindak memecut laju kereta ke susur masuk Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).

Katanya cubaan pemandu lelaki warga tempatan berusia 22 tahun itu untuk meloloskan diri gagal apabila berjaya ditahan anggota polis bertugas di Jalan Klang Lama selepas berlaku kejar mengejar.

“Suspek yang ditahan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian pernafasan yang dilakukan ke atas suspek mendapati paras alkohol yang diambilnya melebihi had kandungan yang ditetapkan dalam undang-undang.

“Dalam kes ini, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan dilaporkan,” katanya lagi.

Tegas beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45(A)1 akta yang sama.

Mohamad Fakhrudin meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai rakaman papan pemuka (dashcam) yang merakam kejadian itu supaya tampil segera ke IPD Petaling Jaya bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mohd Sahidun Saiban di talian 011-33340775 untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak berlakunya kemalangan,” tegasnya.-MalaysiaGazette