Amirudin Shari

SHAH ALAM – Penanaman jagung di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) untuk tujuan makanan alternatif atau ruminan ayam tidak akan dilakukan secara bermusim.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bagi mengatasi masalah kenaikan harga ayam mentah di pasaran yang berpunca daripada peningkatan harga import jagung di Brazil.

“Kita mengimport bekalan ini (jagung) sangat banyak setiap tahun, dia bukan bermusim, tiap-tiap masa kena diputihkan.

“Sebahagian (HSKLS) telah ditanam (jagung), jadi kita telah benarkan, yang kita buka di Bukit Ceding dan beberapa kawasan lain.

“Kita nak tangani masalah kekurangan ayam yang besar, sebab bahan makanan dan Selangor mengorak langkah, malah negeri lain tak buat apa-apa,” katanya kepada pemberita di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Otai Reformis 1998 yang menentang cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membersihkan kawasan HSKLS untuk projek tanaman jagung bagi tujuan pembekalan makanan ayam negara ini.

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail mendakwa projek secara ‘adhoc‘ tanpa perancangan jangka panjang yang rapi ini bakal mengorbankan status hutan simpan tersebut.

Abdul Razak juga mendakwa, ia hanya helah Kerajaan Negeri untuk menyahwartakan status hutan simpan tersebut dengan alasan keperluan kecemasan bagi menyediakan makanan ayam.

Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan, penanaman jagung di HSKLS tidak memerlukan penyahwartaan kerana aktiviti pertanian dibenarkan bagi tujuan itu.

“HSKLS itu hak kepenggunaan, tiada penyahwartaan.

“Tiada isu penyahwartaan dan mereka harus semak fakta sebelum menyerang.

“Kena rujuk balik dengan YB Izham, tak semuanya HSKLS itu hak penggunaan untuk digunakan.

“Jadi (dakwaan) Otai Reformis ini di luar konteks,” katanya lagi. – MalaysiaGazette